Cukai
merupakan satu instrumen ekonomi yang amat penting bagi sesebuah negara
memperolehi hasil atau pendapatan. Hasil daripada cukai ini digunakan oleh
sesuatu kerajaan itu untuk mentadbir dan mengurus negara dan juga bagi perbelanjaaan
membangunkan negara. Cukai yang dikutip ini dibelanjakan oleh kerajaan bagi
tujuan keselamatan negara dan rakyat, pembangunan fizikal dan infrastruktur
seperti jalan raya, hospital, sekolah, tujuan membangunkan ekonomi, tujuan sosial
seperti perkhidmatan kesihatan, pendidikan, kebajikan rakyat dan banyak lagi.
Oleh
itu kita perlu faham yang hasil cukai yang diperoleh daripada rakyat melalui
cukai yang kita sebagai individu perlu bayar kepada kerajaan akan dapat
dimanfaatkan dan dinikmati balik oleh kita sebagai rakyat. Cukai adalah suatu
yang tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan kita, pentabiran Negara dan
ekonomi. Malah, jika kita melihat isu cukai ini dengan lebih mendalam, kita
akan dapat melihat bahawa orang yang mendapat manfaat daripada cukai yang
dikenakan ialah diri kita sendiri.
Secara
ringkasnya, cukai ialah kunci kepada pentadbiran negara yang berkesan dan kita
tidak akan dapat lari darinya. Namun, sebelum kita boleh menerima cukai dengan
hati yang terbuka, seseorang itu perlulah faham bagaimana dan kenapa cukai
digunapakai oleh sesebuah negara. Antara tanggungjawab kerajaan – yang
memerlukan pendapatan dari cukai – ialah membina sekolah sebagai tempat untuk
mendidik kanak-kanak. Cuba kita bayangkan di manakah kita sekarang, jika
kerajaan mengabaikan tanggungjawab ini?
Selain
daripada itu, kerajaan juga memperuntukkan dana untuk menyediakan infrastruktur
asas seperti membina jalan yang menghubungkan kampung, pekan dan bandar dengan
kawasan sekitarnya, dan membolehkan aktiviti perdagangan berlaku antara
kawasan-kawasan tersebut. Kerajaan juga bertanggungjawab untuk membina
kemudahan awam seperti pasar untuk memberi ruang kepada rakyat untuk berniaga
dan menjalankan kegiatan ekonomi mereka.
Peniaga
tempatan akan mendapat keuntungan apabila barangan import dikenakan cukai – ini
kerana ia akan menggalakkan pengguna
untuk memilih barangan tempatan yang lebih murah. Ini adalah satu strategi
perdagangan yang penting yang digunakan oleh negara-negara di seluruh dunia
dalam menjaga kepentingan rakyat tempatan. Satu lagi kebaikan cukai ialah cukai
yang dikenakan ke atas barangan seperti minuman keras, rokok dan perjudian. Beban
cukai ke atas barangan-barangan ini adalah untuk memastikan aktiviti tidak
sihat seperti meminum minuman keras, merokok dan berjudi akan dapat dikawal dan
tidak mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat.
Selain
itu, cukai yang dikenakan ke atas barangan-barangan ini juga boleh digunakan ke
arah aktiviti pemulihan, alam sekitar dan pelbagai kempen untuk menggalakkan
cara hidup sihat. Berdasarkan prinsip yang sama, kerajaan Malaysia memberi
pelepasan cukai ke atas pembelian buku untuk menanamkan sikap rajin membaca di
kalangan rakyat. Dengan adanya sistem percukaian, kerajaan mampu untuk
membentuk masyarakat dan memupuk aktiviti sihat di kalangan rakyat.
Di
negara kita, hampir 70 peratus daripada hasil negara datangnya dari hasil
cukai. Cukai ini boleh di kelaskan kepada cukai langsung dan cukai tak
langsung. Cukai langsung merupakan cukai yang kita sebagai rakyat bayar terus
atau langsung kepada pihak kerajaan. Contoh cukai langsung yang paling ketara
adalah seperti cukai pendapatan dan urusan hal ehwal cukai pendapatan ini
ditadbir oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia. Sekiranya kita layak
dikenakan cukai pendapatan, cukai pendapatan merupakan cukai yang dikenakan
terhadap pendapatan yang kita perolehi. Lebih banyak pendapatan yang kita
peroleh, lebih banyak lah cukai pendapatan yang kita kena bayar.
Cukai
tak langsung pula adalah cukai yang tidak dibayar terus atau langsung kepada
pihak kerajaan. Cukai tak langsung ini kita bayar kepada sesebuah kedai atau
entiti perniagaan dan entiti perniagaan ini kemudiannya akan membayar cukai ini
kepada pihak kerajaan. Contoh cukai tak langsung adalah seperti cukai
perkhidmatan dan juga cukai jualan. Urusan cukai perkhidmatan dan juga cukai
jualan ini ditadbir oleh pihak Jabatan Kastam di Raja Malaysia. Sebagai contoh,
apabila kita menginap di sesebuah hotel atau makan di kedai kedai tertentu dan
apabila kita membuat bayaran dan memperoleh resit bayaran, akan tertera di atas
resit bayaran tersebut perkataan cukai perkhidmatan enam peratus.
Cukai
ini kita bayar kepada hotel tersebut dan hotel tersebut kemudiannya akan
membayar cukai perkhidmatan ini kepada pihak kerajaan. Cukai jualan pula
merupakan cukai yang dikenakan ke atas pengilang yang mengilang barangan dan
juga keatas pegimport yang mengimport barangan. Kebanyakan barangan yang
dikenakan cukai jualan adalah pada kadar 10%. Contoh barangan yang dikenakan cukai
jualan adalah perabot, peti ais, televisyen, baju, kasut, beg tangan dan banyak
lagi barangan. Kita sebagai pengguna tidak tahu yang barangan ini telah
dikenakan cukai jualan sebab ia tidak dinyatakan kepada kita. Cuma elemen cukai
jualan ini telah diambil kira sebagai kos apabila para peniaga menetapkan harga
jualan barangan tersebut. Kita perlu faham yang hampir kebanyakkan barangan
yang kita beli sekarang telah pun dikenakan cukai jualan.
Sistem
cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang ada sekarang mempunyai banyak
kelemahan dan kerajaan kehilangan banyak hasil disebabkan oleh kelemahan ini. Sebagai
satu langkah reformasi cukai dan bagi memastikan sistem percukaian yang lebih
adil telus dan efisien pihak kerajaan telah menyatakan hasrat untuk memansuhkan
cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang ada sekarang dan menggantikannya
dengan cukai barang dan perkhidmatan atau dalam bahasa Inggerisnya ‘Goods and
Services Tax’ (GST).
Cukai
barang dan perkhidmatan telah diperkenalkan di lebih daripada 160 buah negara
di seluruh dunia dan telah terbukti berkesan di dalam konteks ekonomi moden. Negara-negara
seperti Singapura, United Kingdom, Australia dan Thailand telah lama
memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan dan Malaysia juga dijangka akan turut memperkenalkan cukai ini
tidak lama lagi. Dengan pengenalan cukai barang dan perkhidmatan ini, negara
akan melangkah setapak lagi ke arah status negara maju dan rakyat akan berada
dalam sistem percukaian yang lebih adil, telus dan efisien.
